Pages

Friday, December 31, 2010

Sebuah Kisah Cinta...

“Tidak! Aku tidak akan mencerainya. Aku tidak akan menggantinya dengan wanita manapun di seluruh dunia ini.”

Nekad. Kerana cintanya pada sang isteri begitu mendalam. Desakan demi desakan tidak diendahkan.

Penghalang mereka hanya satu, iaitu aqidah. Lantaran kasihnya pada isteri yang tidak mampu dimengerti oleh orang lain, hatinya terlalu berat untuk melepaskan kekasih hati.

Abul ‘Ash bin Rabi’, tegar hatinya untuk tidak menerima Islam yang telah dipeluk isteri tercintanya itu. Dia masih belum bisa meninggalkan agama nenek moyangnya yang telah mengakar kuat di hatinya walaupun di sisi hatinya yang lain, ia masih sangat mencintai Zainab isterinya.

Pemilik nama 'Zainab' ini adalah puteri Rasulullah S.A.W. bersama Khadijah. Abul ‘Ash bin Rabi’, seorang pemuda terhormat di kalangan suku Quraisy, terkenal dengan harta kekayaan yang melimpah melalui hasil perniagaannya di samping terkenal sebagai seorang pemuda yang jujur serta amanah.

Melihat kemuliaan pemuda ini, Khadijah berkeinginan menjodohkan puterinya Zainab dengan pemuda ini. Nabi Muhammad pun menyetujui keinginan isterinya tersebut.

Janji dimeterai, dua hati akhirnya disatukan. Di hari pernikahan yang sangat bermakna itu, Khadijah telah menghadiahkan kalung miliknya sebagai hadiah bagi puterinya yang tercinta itu. Maka, tanggungjawab ke atas Zainab pun berpindah tangan. Beliau meninggalkan rumah ibu dan ayahnya untuk mengejar kasih dan membina impian bersama suami tercinta.

Bahtera Mula Bergoncang

Waktu pun terus berlalu, cahaya Islam mulai menyinari hati sebahagian penduduk Mekkah.

Namun sungguh sayang,cahaya hidayah tersebut masih belum mampu mengetuk hati Abul 'Ash. Zainab, keazamannya begitu tinggi, merayu sang suami agar menerima Islam. Beliau berusaha sebaik mungkin menerangkan agama yang dibawa oleh ayahnya itu kepada suaminya, dengan tenang dan penuh pengharapan. Dipilihnya kata-kata yang halus dan dimaniskan wajahnya untuk menarik hati Abul Ash. Beliau juga berusaha sebaiknya dengan memilih untaian lisan yang indah dan tutur kata yang santun untuk meluluhkan hati sang suami tercinta.


Hakikatnya, tidak ada yang bisa membalikkan hati manusia selain pencipta manusia itu sendiri, iaitu ALLAH. Zainab sangat bersedih kerana lelaki yang dicintainya itu sama sekali tidak terketuk hatinya. Abul Ash hanya diam, dan tidak menyahut seruan isterinya dengan jawapan yang memuaskan. Seolah-olah, suara hati sang isteri tidaklah demikian penting dan bererti dalam hidupnya.

Ketika permusuhan Rasulullah S.A.W dan kaum muslimin dengan orang-orang kafir Quraisy semakin memuncak, orang-orang kafir tersebut mendorong lelaki yang mempunyai isteri mukminah agar menceraikannya. Lantaran itu, dua belahan hati Nabi kita yang mulia, Ruqayyah dan Ummu Kultsum telah dicerai suaminya, lalu dihantarkan semula ke rumah Nabi S.A.W.

Namun, berlainan pula dengan Zainab. Biarpun telah didorong oleh kaum kafir Quraisy agar menceraikan Zainab dengan diimbal janji-janji manis, kecintaan yang begitu mendalam menghalang Abul Ash untuk berbuat demikian. "Kami sanggup dan bersedia mengahwinkanmu dengan siapa saja yang engkau sukai dari segudang wanita Quraisy yang cantik-cantik!”

Walaupun Rasulullah S.A.W inginkan agar Abul ‘Ash menceraikan Zainab, namun baginda tidak berkuasa berbuat demikian, kerana saat itu Allah belum mengharamkan perkahwinan wanita mukminah dengan lelaki musyrik.

Perpisahan yang Memeritkan

Ketika perang Badar meletus, Abul ‘Ash ikut berada dalam barisan kaum musyrikin, biarpun di hatinya amat berat untuk memerangi mertuanya. Nasib Abul'Ash di dalam perang itu diakhiri dengan menjadi tawanan tentera Islam. Rasulullah S.A.W. mewajibkan wang tebusan harus dibayar bagi setiap tawanan yang ingin bebas, sebesar kedudukan dan kekayaan tawanan tersebut di kalangan kaumnya.

Zainab, belahan hati Nabi S.A.W yang begitu dalam cintanya kepada suaminya juga turut mengirim utusan untuk menebus Abul ‘Ash bin Rabi’. Ternyata, Zainab ingin menebus suaminya dengan kalung pemberian ibundanya, Khadijah binti Khuwailid.


Ketika Nabi melihat kalung tersebut, tersentuhlah hati baginda. Kalung yang baginda lihat dulunya adalah milik isteri pertamanya, yang selalu mendampingi dalam keadaan susah dan senang. Wanita mana yang mampu menandingi kesetiaan Khadijah di kala Nabi S.A.W dicaci-maki orang-orang kafir. Khadijahlah yang menyelimuti Nabi dan menenangkan baginda ketika turun wahyu pertama. Dari wanita mulia inilah Nabi memperoleh zuriat. Maka, wajarlah jikalau muncul perasaan rindu di hati baginda.

Dari sisi lain, kalung yang baginda lihat adalah kepunyaan puteri yang sangat disayangi. Maka, hati mana yang tidak tersentuh, apalagi dari seorang ayah kepada puteri yang terpisah darinya? Dengan berat hati, baginda meminta persetujuan para sahabat agar wang tebusan dan kalung penuh makna tersebut dipulangkan kembali kepada Zainab.

Para sahabat Nabi yang mulia serta merta menyahut seruan baginda, “Baik ya Rasulullah! Kami setuju.”

Rasulullah S.A.W pun akhirnya membebaskan Abul ‘Ash ibn Rabi’ dengan memberi syarat agar dia segera menghantarkan Zainab kepada Rasulullah setibanya di Makkah.

Sebaik sahaja tiba di Makkah, Abul ‘Ash segera memenuhi janji ayah kekasih tercintanya itu. Beliau memerintah Zainab agar segera mempersiapkan diri untuk pergi ke Madinah. Abul ‘Ash pun turut menyiapkan bekalan dan kenderaan untuk perjalanan istrinya. Beliau lalu menyuruh adiknya, ‘Amr ibn Rabi’, untuk menghantar Zainab dan menyerahkannya pada utusan Rasulullah yang sudah menunggu tidak jauh di luar kota Makkah.

Dalam perjalanan, mereka telah disekat oleh kafir Quraisy yang marah akan tindakan Abul'Ash tersebut. Salah satu dari mereka yang pertama kali mampu menyusul keduanya adalah Habbar bin Aswad dan Nafi’ bin Abdul Qais Az-Zuhri (ada yang mengatakan Nafi’ bin Abdi ‘Amr).

Gangguan dan ancaman Habbar membuatkan Zainab yang ketika itu sedang hamil jatuh terpelanting dari pelananya yang mengakibatkan kandungannya gugur. Kejadian tersebut telah membuat Zainab sering kesakitan yang akhirnya menjadi sebab kematian beliau.
Akan tetapi, ‘Amr ibn Rabi’, dengan panah yang telah disiapkan, berkata keras kepada orang-orang Quraisy tersebut, “Siapa mendekat, aku panah batang lehernya!”

Di tengah-tengah suasana seperti itu, berkatalah Abu Sufyan ibn Harb, “Wahai anak saudaraku, letakkan panahmu! Kami akan bicara denganmu.”

‘Amr pun meletakkan panahnya.

Abu Sufyan berkata lagi, “Perbuatanmu ini tidak betul hai ‘Amr. Engkau membawa Zainab keluar dengan terang-terangan di hadapan mata kami. Orang ‘Arab seluruhnya tahu akan kekalahan mereka di Badar dan musibah yang ditimpakan bapa Zainab kepada kami. Bila engkau membawa Zainab ke luar secara terang-terangan begini, bererti engkau menghina seluruh kabilah ini sebagai penakut, lemah, dan tidak berdaya. Alangkah hinanya itu!!! Oleh kerana itu, bawalah Zainab kembali kepada suaminya untuk beberapa hari. Setelah penduduk tahu kami telah berhasil mencegah pemergiannya, engkau boleh membawanya secara diam-diam dan sembunyi-sembunyi."

‘Amr menyetujui saranan Abu Sufyan. Tatkala warga Makkah sudah tenang dan tidak lagi membicarakan perihal Zainab, Amr keluar bersama Zainab di waktu malam, lalu menyerahkannya kepada utusan Rasulullah, Zaid bin Haritsah dan temannya.

Akhirnya, Abul Ash pun berpisah dengan isterinya. Dalam tempoh perpisahan ini, tiada satupun yang sangat Zainab harapkan selain hidayah Islam menerobos masuk ke hati kekasih yang sangat dicintai itu. Zainab sentiasa memohon kepada Allah agar Abul Ash segera memeluk agama Islam. Perpisahan yang demikian lama, berlangsung beberapa tahun hingga menjelang Fathu Makkah (penaklukan kota Makkah).

Cinta Bertaut Kembali


Abul Ash menyibukkan dirinya dengan kegiatan perdagangan setelah ia berpisah dengan wanita yang sangat dicintainya itu. Suatu ketika, menjelang terjadinya Fathu Makkah, dalam perjalanan pulang Abul Ash dari Syam ke Makkah, kafilahnya ditawan pasukan penguasa Rasulullah. Ketika itu, Abul Ash membawa seratus ekor unta yang penuh dengan muatan. Namun, Abul Ash masih beruntung kerana berjaya meloloskan diri. Kemudian, dengan sembunyi-sembunyi beliau menyusup ke kota Madinah di kala hari telah gelap dan meminta perlindungan kepadanya.

Keesokannya, Rasulullah mengetahui tentang perkara tersebut ketika hendak menunaikan solat Subuh apabila Zainab berteriak dengan sekuat-kuatnya dari tempat solat wanita, "Hai manusia! Saya Zainab binti Muhammad. Abul Ash minta perlindungan kepada saya. Oleh kerana itu, saya melindunginya."

Setelah Nabi usai melakasanakan solat, Nabi berkata kepada para shahabatnya,

“Apakah tuan-tuan mendengar suara Zainab?“

Para sahabat menjawab, “Kami mendengarnya wahai utusan Allah“

Nabi berkata lagi,

“Demi ALLAH yang jiwaku dalam genggamannya. Saya tidak tahu apa-apa tentang hal ini, kecuali setelah mendengar teriakan Zainab“

Kemudian, Nabi mendatangi rumah Zainab, kemudian berkata kepada puterinya tersebut,

“Hormatilah Abul ‘Ash! Akan tetapi, ketahuilah! Engkau tidak lagi halal baginya.“

Setelah itu, Nabi memanggil pasukan penguasa Madinah yang telah menawan kafilah dagang Abul Ash, lalu beliau berkata kepadaa mereka,

“Sebagaimana kalian ketahui, orang ini (Abul Ash) adalah ahli keluarga kami. Kalian telah merampas hartanya. Jika kalian ingin berbuat baik, kembalikanlah hartanya. Itulah yang kami sukai. Akan tetapi, jika kalian enggan mengembalikan, itu adalah hak kalian kerana harta itu adalah rampasan perang diberikan oleh ALLAH kepada kalian. Kalian berhak mengambilnya.“

Mendengar perkataan Nabi tersebut, para sahabat menjawab,

“Kami akan kembalikan wahai ututsan Allah…”

Lalu, Abul ‘Ash membawa kembali harta bendanya menuju Makkah. Setibanya sahaja di Makkah, beliau segera membayar modal perniagaan yang telah diwakilkan oleh penduduk untuk diniagakan. Setelah setiap yang berhak telah menerima pembayaran yang secukupnya,Abul ‘Ash lalu berkata,

“Sekarang ketahuilah, aku telah membayar hak kamu masing-masing secukupnya. Maka, kini dengarkan! Aku bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan ALLAH . Demi ALLAH, tidak ada yang menghalangku untuk menyatakan Islam kepada Muhammad ketika aku berada di Madinah, kecuali kekhuatiranku jikalau kalian menyangka, aku masuk Islam karena hendak memakan harta kalian. Kini, setelah ALLAH membayarnya kepada kamu sekalian dan tanggungjawabku telah selesai, aku menyatakan masuk Islam.”


Setelah itu, Abul ‘Ash keluar dari Makkah untuk menemui Rasulullah Muhammad S.A.W. Rasulullah pun menerima dan menyambut kedatangannya, serta menyerahkan kembali isterinya, Zainab kembali ke pangkuannya.

Namun, badai ujian cinta mereka begitu hebat. Kebahagiaan Abul ‘Ash dalam menikmati kehangatan kasih dan cinta sang isetri setelah waktu perpisahan yang begitu panjang tidak bertahan lama. Mereka berpisah lagi. Kali ini, perpisahan abadi yang tidak mungkin lagi datang pertemuan berikutnya. Pemergian Zainab meninggalkan permukiman fana dunia, menemui Sang Pencipta Rabbul Jalil pada tahun 8 Hijrah. Dengan satu janji, ingin bertemu kembali di syurga Ilahi.

Kisah cinta puteri Nabi,
Tersirat seribu makna penuh erti,
Demi aqidah yang diimani,
Rela berkorban kasih yang bersemi,
Terpaksa memilih antara ayah dan suami,
Kasih yang dikorbankan akhirnya diganjari,
Kisah cinta yang ALLAH redhai.


~~Alhamdulillah, lama juga saya menguliti kisah cinta Zainab puteri Rasulullah ini dan cuba untuk membuat ringkasan kehidupan panjang penuh ranjau yang dilalui Zainab r.a. (Kalau tulis panjang2, malas nak baca lama2 kan.? (^_^) InsyaAllah sumber cerita yang saya dapatkan ini dari sumber yang sahih. Teruja dengan pengorbanan kasih yang dipersembahkan oleh Zainab r.a. Semoga ibrahnya mampu kita kutip bersama...Barakallahu lakum.=)

Jom hayati lirik di bawah...kalau nak dengar lagunya, search je kat youtube...best dan penuh semnagat! rasa macam nak kahwin cepat2 je..(^_^)

|Demi cinta Zainab by Mestica|

Di kiri kekufuran di kanannya iman
Di sisi suami di hati seorang ayah
Di antara hukum dan di antara cinta
Berdirinya dikau di tengah-tengahnya
Bukan mudah menjadi puteri Rasulullah
Ketika suamimu masih jahiliyah

Hijrah mu tertahan engkau keseorangan
Memelihara iman ditengah kekufuran
Takdir menentukannya suami mu tertawan
Di medan Badar yang sangat menggetirkan
Lalu kau hulurkan kalungan kenangan
Sebagai penebus suami tersayang
Menitis airmata Rasul melihatnya
Melihat si Khadijah seolah berbicara
Ya....Binta Rasulallah

Tika sampailah waktu dibebaskan suaminya
Namun perintah Allah memisahkan keduanya
Bahang panasnya gurun
menusuk hingga ke sukma
Zainab mulakan hijrah
yang ditangguh demi cinta
Tika perjalanannya unta dibunuh
Kau keguguran kandungan

Zainab kau sungguh tabah
dipenuhi kesabaran
Tidak rasa keliru antara dua persimpangan
Antara dua kasih suami dan juga ayah
Juga antara cinta dan taat kepada Tuhan
Berjaya kau menempuhi segala rintangan
Demi cinta

1 comment:

Anonymous said...

semoga cpt kawen farihah...=)

Post a Comment

 
Copyright 2009 Permukiman Fana. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase