Astaghfirullahal 'azim, astaghfirullahal 'azim, astaghfirullahal'azim.
Beginikah kamu?
Berjanji tetapi mungkir.
Beginikah kamu?
Berkata tetapi tidak beramal.
Beginikah kamu?
Berniat tetapi tidak perbuat.
Sedangkan kamu mengerti, juga telah diperhalusi, akan sabdanya junjungan mulia Rasulullah s.a.w:
“Tiga perkara apabila seseorang itu memilikinya,maka dia dianggap munafik sekali pun dia berpuasa dan sembahyang dan menganggap dirinya muslim,iaitu apabila berkata-kata dia berdusta,apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diamanahkan dia mengkhianati”.
Walaupun hati sesekali diketuk rasa sedar, tetapi amat jarang untuk diri ini menjengah ke laman kalam sendiri.Hati terus menerus diburu rasa bersalah. Terlalu banyak yang telah saya sia-siakan. Hari-hari yang berlalu, meninggalkan pelbagai versi di dalam drama kehidupan, natijah dan ibrah yang diperoleh tidak mampu untuk kucatat.
4 bulan yang berlalu ini tidaklah juga saya biarkan kosong. Ada jiwa ingin menulis tetapi tidak pernah habis. Erm, sejujurnya saya tidak pandai menyudahkan penulisan tersebut, maka jadilah ia 'projek terbengkalai', sekadar bersemadi di dalam drafts.=)
Minda terus berputar. Tiap kali asyik memikirkan diri yang terlalu banyak kekurangan. Tulisanku yang tidak segah orang lain. Lantaran ilmu di dada yang teramat cetek. Membaca dan terus membaca tetapi tidak menilai dari mata hati. Bagaimana mahu memberi jika terus berperasaan begini? Jiwa yang ingin memberi itu perlukah disekat? Bukankah perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah?
Kisah para Nabi, tersingkap sejuta ibrah. Sirah para sahabat, bukankah telah diunjurkan untuk diteliti. Perjalanan kehidupan pejuang agama, mengapa sekadar dibelek tetapi tidak diteladani.
"Dan semua kisah rasul-rasul, Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), agar dengan kisah itu Kami teguhkan hatimu; dan di dalamnya telah diberikan kepadamu (segala) kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang yang beriman." (Huud, 11:120)
Perlu kuat. Tidak boleh kalah. Harus berperang dengan musuh dalam diri bernama nafsu. Ya ALLAH, kurniakanlah daku istiqamah.
Mohon maaf kepada sahabat (tidak sedar yang rupanya ada follower kerana hanya beberapa orang sahaja yang tahu akan kewujudan blog ini. Terharu sangat. T_T. Terima kasih..)
Mohon kepada diri ini agar jangan lemah (ingatlah wahai diri, putus asa itu sifat orang kafir. [Yusuf, 12:87])
Paling utama, mohon kepada ALLAH agar Dia memudahkan segala jalan yang bakal ditempuh. Memandang ke hadapan dengan optimis dan kikis segala perasaan negatif yang hanya akan merugikan diri sendiri dan juga orang lain. (rabbi yassir wala tu'assir)
Moga tiada niat-niat lain yang tidak sepatutnya mendasari. Berbicara tentang keikhlasan itu tidak payah, akan tetapi untuk mengamalkan unjuran hadith Baginda s.a.w yang utama ini tetap ada perintang. Jika belum ikhlas bermakna belum redha dengan takdir-Nya. Ikhlaskan kami Ya ALLAH.
~Usaha membaiki diri adalah kembara yang tidak berpenghujung..~
Istiqamah dalam Mujahadah
[Mujahadah; amat mudah untuk dilantuni namun begitu sukar untuk menyantuni]
Kita sentiasa diburu malah dibelenggu oleh 2 musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu. Bagaimana kita hendak mengalahkan 2 musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri kepada diri sendiri?
Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata.
Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?
Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, mereka yang gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat mengawal kemarahannya.Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan.
Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh syaitan ialah mereka yang ikhlas.
Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri.
Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu.
Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.Syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya.
Bukankah manusia sebaik Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis hingga terkeluar dari syurga? Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut ‘mood’.
Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggalah malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun, syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada saat itu, tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman.
Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah hati. Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala, ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor sekali sekala.
Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin banyak hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi. Oleh itu, satu prinsip asas dalam bermujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan memberi kesan.Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah.
Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisten.Firman Allah : " Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka." (As-Syura :15)
Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu berdepan dengan mereka.
Firman Allah dalam surah Hud ayat 112 yang bermaksud:
"Oleh itu, hendaklah engkau (Wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri (istiqamah) di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."
Wallahu a'lam.
..tripod..
Adab Majlis Ilmu
8 years ago
No comments:
Post a Comment