Pagi ini suluh mentari menghantar pulang
Jejak sepatuku masih ada debu kota meminggir
Diasak embun desa termanggu di halaman
Seratus langkahku menghampiri anak tangga usang
Rumah papan atap rumbia menyentak perantau
Sepi di beranda...
Kuatur langkahku sebak
Syahdu dan gementar
Ada tangisan di wajah
Menyentuh kenangan di gerbang pintu
Abah selalu berkisah
Kuakan pintu itu ada nasihat
Masih basah keringat
Memantul warna senja kepulanganmu
Tanpa sungutan
Cepat benar masa berlalu
Waktu abah menyambutku pulang
Usiamu diterjah putih kelabu
Ada perit getir di wajahmu
Kedut yang membungkus wajahmu
Mengasak kudrat ke telapak kesat tanganmu
Sering dahulu memeluk kami sebelum ke sekolah
Menghantar seribu luka di tumitmu
Dulunya menguak rahsia jalan
Aku menyambut memapah tubuh gementarmu
Kulihat dengan genang air mata
Sejuk dahiku kau kucup penuh restu
Sepohon pokok rendang tua
Abah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata abah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”
Abah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu abah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja
Abah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau....
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal ...
.....Gagal kami temui dalam setiap dakapan
.....Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
.....Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri abah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami....
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan
Abah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa
Doa ibu membawa ke syurga
Doa abah jalan ke syurga
Little Mike
Sengaja saya selitkan sajak di atas yang telah saya edit sedikit dari karya asalnya. Menyuntik inspirasi, mengenangkan seorang insan mulia dalam hidupku bergelar 'abah'.
Terlalu banyak jika mahu dikisahkan tentang susuk tubuh tua itu. Pengorbanannya, didikannya, kasihnya, doanya...terlalu berharga buat diriku.
Masih basah di ingatan, sewaktu hari-hari pertama sebermula perjalanan sukarku di darjah lima sebaik lulusnya aku dalam ujian lompat kelas. Sukar kerana terpaksa meninggalkan teman-teman seusiaku. Sukar lantaran terpaksa berhadapan dengan suasana baru dan rakan-rakan baru yang tua setahun dariku. Lebih sukar apabila terpaksa belajar perkara-perkara baru sehingga aku merasakan waktu itu aku seperti orang yang tidak tahu apa-apa! Berbanding rakan-rakan sekelas yang telah terlebih dahulu diperkenalkan apa itu sains dan kajian tempatan, juga perkara-perkara lain yang aku sendiri sudah tidak ingat. Dan waktu itulah, abah dengan penuh kasih sayangnya telah meniupkan semangat juang kepadaku. Setiap hari, tanpa jemu, abah tetap meyakinkan aku tentang kebolehanku. Kata abah, "anak abah boleh!". Terima kasih abah! Seiring tiupan semangat abah itulah yang membawaku jauh ke daerah ini kini.
Selesai perjuanganku di bangku sekolah rendah, dengan keputusan cemerlangku dalam UPSR, abah berhasrat untuk menyekolahkanku di negeri Serambi Mekah, di sebuah sekolah yang terkenal dengan kecemerlangannya. Abah kuat untuk menemaniku menghadiri temuduga di sana. Namun, takdirku bukan di situ. Lantaran kata abah,"abah tak mau dok jauh dengan kakak..." maka dengan berat hati aku menolak untuk bersekolah di sana walaupun aku lulus dalam temuduga tersebut. "Biarlah" bisikku. Kerana kutahu abah berat hati untuk melepaskan anak perempuannya merantau jauh.
Kuhadiahkan abah 9A dalam PMR, dan seiring dengan keputusan itu,aku ditawarkan pula ke sekolah berasrama penuh di Selangor. Sekali lagi, abah tidak mahu berpisah jauh denganku. Saat abah menghantarku ke asrama ketika bermulanya sesi persekolahan tingkatan 4, bisik abah di telingaku, "abah tak mau dok jauh dengan kakak..." kata-kata itu terucap sekali lagi. Maka dengan itu aku tetap tinggal di bumi waqafan Al-Ma'ahadil Mahmud yang kucintai.
Aku tahu, abah bukan sengaja tidak mahu anaknya ini cemerlang di sekolah-sekolah ternama. Aku tahu, keputusan abah itu bukan hanya kerana abah tidak mahu berjauhan denganku. Dan aku tahu keputusan abah itu kerana abah sayangkanku...Biarpun pernah dulu terselit sedikit luka lantaran keputusan yang abah ambil untuk diriku, aku tetap yakin hikmahnya tetap ada!
Mengimbau zaman kanak-kanak, kenakalanku juga terkadang mengundang kemarahan abah. Dan apabila dimarahi, aku akan menangis sehingga tertidur. Saat aku mahu melelapkan mata itulah abah akan mampir seraya berbisik, "abah marah sebab abah sayang...". Menitis lagi air jernih di mataku. Aku tahu itu...
Banyak lagi lipatan sejarahku bersama abah. Namun, hanya secebis kisah ini yang mampu kucoretkan di sini, membuahkan kasih yang begitu lama disemai. Kasih abah tetap memekar buat kami, anak-anaknya yang sudah meningkat dewasa.Kasih kami kepada abah tetap hidup bersama setiap urat nadi dan akan terus hangat tanpa mengira waktu. Terima kasih abah!
Selamat Hari Bapa buat abah tersayang!
Adab Majlis Ilmu
8 years ago
No comments:
Post a Comment