Pages

Monday, June 21, 2010

Kasih Abah

Pagi ini suluh mentari menghantar pulang
Jejak sepatuku masih ada debu kota meminggir
Diasak embun desa termanggu di halaman
Seratus langkahku menghampiri anak tangga usang
Rumah papan atap rumbia menyentak perantau
Sepi di beranda...

Kuatur langkahku sebak
Syahdu dan gementar
Ada tangisan di wajah
Menyentuh kenangan di gerbang pintu
Abah selalu berkisah
Kuakan pintu itu ada nasihat
Masih basah keringat
Memantul warna senja kepulanganmu
Tanpa sungutan

Cepat benar masa berlalu
Waktu abah menyambutku pulang
Usiamu diterjah putih kelabu
Ada perit getir di wajahmu
Kedut yang membungkus wajahmu
Mengasak kudrat ke telapak kesat tanganmu
Sering dahulu memeluk kami sebelum ke sekolah
Menghantar seribu luka di tumitmu
Dulunya menguak rahsia jalan
Aku menyambut memapah tubuh gementarmu
Kulihat dengan genang air mata
Sejuk dahiku kau kucup penuh restu

Sepohon pokok rendang tua
Abah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata abah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”

Abah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu abah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja

Abah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau....
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal ...
.....Gagal kami temui dalam setiap dakapan
.....Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
.....Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri abah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami....
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan

Abah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa

Doa ibu membawa ke syurga
Doa abah jalan ke syurga

Little Mike

Sengaja saya selitkan sajak di atas yang telah saya edit sedikit dari karya asalnya. Menyuntik inspirasi, mengenangkan seorang insan mulia dalam hidupku bergelar 'abah'.

Terlalu banyak jika mahu dikisahkan tentang susuk tubuh tua itu. Pengorbanannya, didikannya, kasihnya, doanya...terlalu berharga buat diriku.

Masih basah di ingatan, sewaktu hari-hari pertama sebermula perjalanan sukarku di darjah lima sebaik lulusnya aku dalam ujian lompat kelas. Sukar kerana terpaksa meninggalkan teman-teman seusiaku. Sukar lantaran terpaksa berhadapan dengan suasana baru dan rakan-rakan baru yang tua setahun dariku. Lebih sukar apabila terpaksa belajar perkara-perkara baru sehingga aku merasakan waktu itu aku seperti orang yang tidak tahu apa-apa! Berbanding rakan-rakan sekelas yang telah terlebih dahulu diperkenalkan apa itu sains dan kajian tempatan, juga perkara-perkara lain yang aku sendiri sudah tidak ingat. Dan waktu itulah, abah dengan penuh kasih sayangnya telah meniupkan semangat juang kepadaku. Setiap hari, tanpa jemu, abah tetap meyakinkan aku tentang kebolehanku. Kata abah, "anak abah boleh!". Terima kasih abah! Seiring tiupan semangat abah itulah yang membawaku jauh ke daerah ini kini.

Selesai perjuanganku di bangku sekolah rendah, dengan keputusan cemerlangku dalam UPSR, abah berhasrat untuk menyekolahkanku di negeri Serambi Mekah, di sebuah sekolah yang terkenal dengan kecemerlangannya. Abah kuat untuk menemaniku menghadiri temuduga di sana. Namun, takdirku bukan di situ. Lantaran kata abah,"abah tak mau dok jauh dengan kakak..." maka dengan berat hati aku menolak untuk bersekolah di sana walaupun aku lulus dalam temuduga tersebut. "Biarlah" bisikku. Kerana kutahu abah berat hati untuk melepaskan anak perempuannya merantau jauh.

Kuhadiahkan abah 9A dalam PMR, dan seiring dengan keputusan itu,aku ditawarkan pula ke sekolah berasrama penuh di Selangor. Sekali lagi, abah tidak mahu berpisah jauh denganku. Saat abah menghantarku ke asrama ketika bermulanya sesi persekolahan tingkatan 4, bisik abah di telingaku, "abah tak mau dok jauh dengan kakak..." kata-kata itu terucap sekali lagi. Maka dengan itu aku tetap tinggal di bumi waqafan Al-Ma'ahadil Mahmud yang kucintai.

Aku tahu, abah bukan sengaja tidak mahu anaknya ini cemerlang di sekolah-sekolah ternama. Aku tahu, keputusan abah itu bukan hanya kerana abah tidak mahu berjauhan denganku. Dan aku tahu keputusan abah itu kerana abah sayangkanku...Biarpun pernah dulu terselit sedikit luka lantaran keputusan yang abah ambil untuk diriku, aku tetap yakin hikmahnya tetap ada!

Mengimbau zaman kanak-kanak, kenakalanku juga terkadang mengundang kemarahan abah. Dan apabila dimarahi, aku akan menangis sehingga tertidur. Saat aku mahu melelapkan mata itulah abah akan mampir seraya berbisik, "abah marah sebab abah sayang...". Menitis lagi air jernih di mataku. Aku tahu itu...

Banyak lagi lipatan sejarahku bersama abah. Namun, hanya secebis kisah ini yang mampu kucoretkan di sini, membuahkan kasih yang begitu lama disemai. Kasih abah tetap memekar buat kami, anak-anaknya yang sudah meningkat dewasa.Kasih kami kepada abah tetap hidup bersama setiap urat nadi dan akan terus hangat tanpa mengira waktu. Terima kasih abah!

Selamat Hari Bapa buat abah tersayang!

Thursday, June 3, 2010

1 kilo gula di 1 Malaysia



“ Tunggu sini. Biar mak masuk dulu. Nanti mak keluar baru masuk”

Akur. Pendingin hawa dipasangkan. Berseorangan menunggu di dalam kereta.

Selang beberapa minit...

“ Tak ada jugak.”

Menggeleng kepala. “susahnya..” sekadar berbisik di dalam hati.
“Nak pergi mana lagi ni?”

“Balik je lah. Mak dah penat. ”

Jika tidak kerana menemani emak membeli barang-barang dapur pagi kelmarin,pasti saya masih tidak tahu betapa sukarnya mencari gula ketika ini. Disebabkan seorang hanya dihadkan untuk membeli 2 kg gula sahaja maka emak menyuruh saya masuk membeli gula selepas beliau selesai membeli. Namun, kami dihampakan kerana gula di pasaraya yang menjadi tempat kami membeli barang keperluan dan yang tidak pernah menghadapi sebarang masalah bekalan itu tiba-tiba juga terputus bekalan gula.

Tiba-tiba fikiran saya singgah pada bapa saudara yang akan mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya hujung minggu ini. Pasti sesak dadanya memikirkan bagaimana mahu mencari gula di saat getir begini. Doaku semoga urusannya dipermudahkan.

Agak pelik juga apabila Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan , Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa bekalan gula mencukupi. Siapa yang harus menerangkan situasi yang dihadapi rakyat kini? Sepertinya kerajaan 1 Malaysia tidak mampu menyelesaikannya dan rakyat umpama tidak lagi didahulukan. Janji untuk membangunkan projek-projek besar pada setiap kempen pilihanraya lebih diutamakan berbanding masalah sekecil gula.

Maka terburu-buru kerajaan menghidupkan semula kempen kurangkan gula dalam makanan. Cepat-cepat menyiarkan iklan-iklan di tv dan rencana di akhbar berkenaan bahayanya pengambilan gula berlebihan.

Ya, tidak dinafikan itu semua sangat tepat dan tidak boleh disangkal. Tetapi, perlukah sehingga tiada langsung gula dalam kehidupan? Jika hendak mendapatkan sekilo gula pun sampai perlu mencari ke sana ke mari, maka itu tidak lagi dinamakan mengurangkan gula dalam makanan tetapi menghapuskan terus gula daripada makanan.

Iyakah begitu teruk sekali keadaannya untuk mencari bekalan gula di Malaysia? Mungkin tidak ramai tahu, ia tidaklah sesukar ini jika gula Malaysia tidak diseludup ke negara jiran. Harga gula di Malaysia RM 1.65 sekilogram sedangkan di sana hampir RM 3. Bayangkan betapa banyaknya untung si penyeludup gula.

Ini saya peroleh dari satu sumber yang dipercayai. Menurut laporan media Pasukan Gerakan Marin (PGM), terdapat lebih 10 stor pemborong gula di tebing Sungai Golok sepanjang 15km di Tumpat. Setiap satu stor mampu menyimpan antara 10,000 sehingga 15,000 kg gula. Menurut PGM juga, gula Malaysia didapati berlambak di negara jiran. Adakah kerajaan 1 Malaysia ibarat menyusukan kera di hutan tetapi anak sendiri dibiar mati kelaparan?

Saat rakyat mencari 1 kilo gula yang susah nak dapat, apa yang kerajaan 1 Malaysia buat?

Wednesday, June 2, 2010

Kisahnya Gaza

Bismillahirrahmanirrahim

Sebetulnya saya hendak menulis tentang perkara lain. Tetapi hati merasa semakin tidak senang apabila menjengah ke laman facebook dan melihat status serta link yang sahabat-sahabat berikan. Semuanya berkisar tentang perkembangan misi bantuan “Lifeline 4 Gaza” yang diancam Israel laknatullah. Benarlah, mereka tidak akan pernah merasa aman jika ada sesiapa yang menghulurkan bantuan kepada musuh utama mereka di Palestin.

Berita di bawah saya peroleh sewaktu singgah sebentar di homepage MSN Malaysia dan saya telah terjemahkannya ke bahasa Melayu.



[[12 sukarelawan Malaysia adalah di antara 124 aktivis bantuan Gaza yang dibebaskan oleh Israel pada hari ini (Rabu,2010/02/06).

Astro Awani melaporkan bahawa wartawan Ashwad Ismail, dan juru kamera Samsulkamal Abdu Latip telah tiba di Jordan.

Seorang jurucakap dari Astro berkata sukarelawan Malaysia itu dibebaskan pada sekitar 11:30 pagi di Jambatan Raja Hussein yang menjadi sempadan antara Israel dan Jordan.

Usaha untuk membawa kembali kesemua sukarelawan tersebut ke Malaysia sedang berlangsung oleh kedutaan Malaysia di Jordan.

Dalam wawancara televisyen tidak lama selepas Ahswad dibebaskan,beliau mengatakan bahawa mereka tidak membawa senjata tajam di dalam kapal tersebut tetapi pasukan komando Israel tetap menyerang kapal yang mengangkut bahan-bahan bantuan menuju ke Jalur Gaza.

"Orang-orang di atas kapal kami hanya menggunakan air untuk cuba mengusir pasukan yang datang ke kapal. Saya tidak melihat benda tajam. Jika ada, mungkin itu hanya item logam biasa yang boleh didapati di setiap kapal," dia berkata.

Dia menambah bahawa dia digari bersama dengan Samsulkamal ketika mereka dibawa ke bandar pelabuhan Israel Asdod sebelum dibebaskan 28 jam kemudian.

Para aktivis dari 12 negara muslim, kebanyakan dari mereka tanpa hubungan diplomatik dengan Israel, menyeberangi Jambatan Allenby untuk ke luar menggunakan lima bas Jordan.

Israel mengatakan 50 aktivis lain masih ditahan di negara itu untuk soal siasat.

Duta Besar Kuwait, Sheik Sabah Al Faisal berkata "16 sukarelawan Kuwait turut menaiki bas Jordan tersebut dan para aktivis lain berasal dari Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Maghribi, Mauritania, Yaman, Oman dan Bahrain”.

Seluruh dunia mengecam hebat tindakan Israel sejak pasukan komando laut menghentikan bantuan armada di perairan antarabangsa sejak Isnin (2010/5/31) sehingga menyebabkan kematian 9 aktivis dan ramai yang lain cedera.



Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman telah ke Jordan untuk menguruskan pembebasan dan kepulangan 12 aktivis Malaysia tersebut.Mereka telah ditahan apabila kapal bantuan Mavi Marmara diserang tentera Israel pada pagi Isnin yang lalu.]]

Sempat saya menonton berita jam 8 tadi. Sebuah lagi kapal yang memuatkan ubat-ubatan dan makanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pagi Jumaat ini. Kapal Rachel Corrie itu turut ditumpangi oleh 6 orang rakyat Malaysia dari PGPO, wartawan tv3 dan seorang ahli Parlimen Perak.

Setelah lebih kurang seminggu misi ini bermula, para aktivis tetap bersemangat untuk menyempurnakannya biarpun terpaksa berdepan dengan tindakan ganas tentera rejim Zionis. Maha benar firman Allah yang termaktub di dalam kalam suci pegangan umat Islam.

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kehendak mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Al-Baqarah:120)

Sokongan padu dari seluruh dunia terutamanya kaum muslimin terus dipertingkatkan. Biarpun tidak dapat bersama-sama menyeberang lautan ke bumi Gaza, namun iringan doa tetap tidak akan luput. Semoga misi bantuan tersebut sentiasa dilindungi Allah dan rakyat Gaza mampu keluar dari siksaan yang telah terlalu lama mereka tanggung.

 
Copyright 2009 Permukiman Fana. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase