Pages

Saturday, May 29, 2010

Biarlah Ia di Syurga

(sambungan catatan permusafiran ke Kemboja)

Bismillahirrahmanirrahim

Petang yang mendamaikan.Tiada hembusan angin. Panahan haba mentari terus mengigit. Namun, suasana di situ tetap menenangkan hati. Ditemani seorang rakan, saya menyusur denai berdebu itu sambil melewati setiap rumah. Senyuman indah terukir, menyambut kedatangan kami ke teratak mereka.

Oh, sebelum terlupa. Walau bersempadan dengan negara bergolak Thailand, kami tidak perlu khuatir. Kampung yang agak terceruk ini menjanjikan keselamatan buat kami. Pergolakan hebat negara jiran itu hanya tertumpu di ibu negaranya, Bangkok, sehingga menyebabkan pusat perniagaan itu lumpuh. Walaupun begitu kami tetap diingatkan untuk menjaga keselamatan diri masing-masing sepanjang bermusafir di sini.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sini lewat tengahari tadi, sekumpulan penduduk kampung bersama pelajar-pelajar madrasah telah setia menunggu. Salam dihulur bersambut, diiring senyuman manis, menjalinkan ikatan ukhuwah antara dua negara berjiran. Seterusnya kami dijemput untuk menikmati juadah yang siap disajikan, hasil gotong-royong mereka beramai-ramai. Mereka gemar makan sayur dan tidak suka makanan pedas. Terdapat pelbagai jenis sayur dalam santapan kami tengahari itu dan lauk utama ialah ikan yang saya tidak tahu namanya yang dimasak seperti sup. Juadah istimewa ikan bakar cicah sambal yang begitu menyelerakan. Lazat. Bukan selalu dapat peluang sebegini, menikmati makanan tempatan negara orang.



Petang itu, tiada sebarang aktiviti. Peluang yang ada saya gunakan untuk meninjau kawasan sekitar kampung. Mengecam lokasi rumah-rumah di situ bagi memudahkan aktiviti gotong royong kami di kampung ini nanti. Ditemani Ustazah Husna, penterjemah utama, kami terus berjalan ke setiap rumah yang ada di situ. Kampung ini tidak besar, ada sekitar 30 keluarga dengan hanya 22 buah rumah sahaja,kerana ada rumah yang didiami lebih dari satu keluarga. Selainnya adalah pondok pelajar madrasah. Majoriti rumah di sini seperti pondok pelajar itu juga, diperbuat daripada getah dan buluh. Berkeriuk bunyi buluh itu saat saya menjejakkan kaki ke salah sebuah rumah. “Dah 6 tahun rumah ni, tapi masih tahan lagi. Getah ni kuat” ujar Ustazah Husna. Walaupun dinding getah tersebut sedikit terkoyak dan akan dimasuki air ketika hujan, namun mereka masih bertahan sehingga saat ini. “Ya Allah, semoga diriku dapat mengambil teladan dari tingginya nilai kesabaran mereka”



Pada sebelah malamnya, kami mengumpulkan pelajar-pelajar madrasah di masjid untuk sedikit sesi pengenalan. Masjid ini baru sahaja siap dibina beberapa bulan lepas. Aktiviti dijalankan secara berasingan antara lelaki dan perempuan. Disebabkan tiada tabir di dalam masjid, maka kaum hawa terpaksa berada di kaki lima masjid sahaja apabila aktiviti yang melibatkan semua peserta dijalankan. Akhirnya, aktiviti-aktiviti peserta perempuan kami jalankan sahaja di surau lama daripada buluh yang tidak berdinding, bertentangan dengan masjid.



Hari-hari seterusnya diteruskan dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang telah direncanakan. Sesi taaruf di dalam kumpulan menggunakan konsep sarang labah-labah dan kemudian pembentangan logo dan motto kumpulan masing-masing. Pelajar perempuan hanya terdiri daripada 24 orang sahaja dengan rata-ratanya berumur dalam lingkungan 14-20 tahun. Kami bahagikan mereka kepada 2 kumpulan dengan 2 orang fasilitator setiap kumpulan. Berbanding pelajar perempuan,pelajar lelaki di sini lebih ramai iaitu kira-kira 70 orang. 3 orang fasilitator perempuan pula dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak. Kecoh betul. Terhibur melihat gelagat dan telatah mereka, terutama ketika diberikan mainan. Hmm, teringat pula pada anak saudara di rumah.





Selepas zohor pula kami akan mengajar nasyid Asma’ul Husna dan Bingkai Kehidupan, iaitu lagu yang kami pilih sebagai lagu tema untuk program ini. Disebabkan perbezaan bahasa, agak sukar sebenarnya keadaan itu bagi kami. Namun, ia menjadi sedikit mudah kerana mereka belajar Bahasa Melayu di sini. Kebanyakan mereka faham, cuma untuk bercakap itu sedikit sukar untuk mereka, melainkan hanya beberapa orang sahaja yang boleh berbuat demikian. Selepas asar pula kami beriadah ringan. Hari kedua kami perkenalkan permainan tradisional Malaysia kepada mereka iaitu tarik upih, konda-kondi dan galah panjang manakala pada hari ketiga pula kami jalankan sukaneka. Tidak kering gusi kami melihat pelbagai gelagat mereka bermain. Baru pertama kali agaknya, sehinggakan upih yang sepatutnya ditarik tetapi mereka mengangkatnya pula.



Pagi hari ketiga, kami mengambil kesempatan untuk menziarahi semua rumah penduduk kampung sambil membersihkan kawasan sekitar. Majoriti penduduk tidak faham bahasa Melayu. Maka kami ditemani adik-adik yang boleh berbahasa Melayu untuk membantu kami menterjemahkan perbualan dengan penduduk. Walaupun agak letih kerana berpusing satu kampung, namun masing-masing tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira. Kami gembira dapat membantu dan mengenali manakala mereka gembira menerima tetamu istimewa.



Hari terakhir kami di sini dimeriahkan dengan kenduri bersama penduduk kampung. Dua ekor lembu ditumbangkan bagi tujuan tersebut. Sedari petang hari sebelumnya lagi para penduduk kampung telah bergotong royong menyembelih, melapah dan memotong daging dibantu para pelajar dan juga kami sendiri. Seronok bekerja bersama-sama mereka. Pada hari terakhir tersebut, Dekan Pusat Asasi UIA, Dr Syed Zahir Idid turut datang dari Malaysia untuk menyertai kami di samping menyempurnakan upacara penutupan program. Pada hari tersebut, penduduk kampung telah menyediakan masakan sup daging versi Kemboja. Rasa dan rupanya tidak seperti sup daging Malaysia dengan ditambah sedikit daun ketumbar. Sebagai tukaran, kami telah menyediakan bihun sup dan sate daging kepada mereka dan dihidangkan pada sebelah malamnya. Memang agak letih berhempas pulas mengipas sate, namun harga letih itu terbayar melihat senyuman mereka sebaik menjamahnya.





Biarlah tidak mampu mengucapkan secara lisan, namun kami masih mampu mencapai maksud di sebalik pergerakan tangan. Begitulah bersungguh-sungguhnya makcik-makcik di sini ingin bersembang dan beramah mesra bersama. Walaupun terdetik sedikit kelucuan di hati, kami tetap meraikan mereka biarpun lagak bagai orang bisu bercakap. Seawal pagi dan lewat malam, mandi ditemani cahaya rembulan dan mengepam serta mengangkut air sendiri. Bermain hujan untuk menyelamatkan sup sehingga kasut dipenuhi tanah merah yang kejap melekat. Terkunci di luar rumah kerana pulang lewat malam usai muhasabah jawatankuasa. Sungguh, pengalaman ini begitu bermakna yang kami tidak akan peroleh di mana-mana. Syukur Ya Allah, mempertemukan kami dengan mereka lantas belajar tentang erti kehidupan sebenar.



Perpisahan akhirnya menuntut takdir. Kala terpandang titis-titis jernih mengalir perlahan, bertambah berat hati ini untuk meninggalkan. Namun, kami tetap pasrah kepada fitrah bahawa setiap pertemuan itu tetap disusuli dengan perpisahan. Lambaian terakhir kami buat mereka diiringi doa dan harapan, “semoga kita dipertemukan lagi, jika tidak di dunia biarlah ia di syurga”

Perjalanan yang memakan masa hampir 4 jam ke Seam Reap menyaksikan ramai yang ‘syahid’. Keletihan berprogram selama 4 hari sedikit terubat apabila kami dibawa melawat beberapa tempat menarik di sini. Ke Angkor Silk Farm untuk melihat lebih dekat proses penghasilan sutera Kemboja dan seterusnya membeli belah di pasar siang sebelum ke Killing Field dan Angkor Watt. Kami mengitari sejarah kekejaman rejim Pol Pot di Killing Field yang berlaku sekitar awal 70-an. Penguasa itu telah membunuh kejam rakyatnya yang tidak bersalah. Kami tidak berkesempatan untuk masuk ke Angkor Watt yang disenaraikan antara 7 keajaiban dunia lantaran waktu kami tiba di sana hari sudah hampir gelap. Sekadar berjalan dan bergambar di luar sahaja sudah memadai memandangkan tempat itu tidak sesuai untuk Muslim. Pada sebelah malamnya pula, kami ke Angkor Night Market, namun akibat terlalu letih saya dan beberapa sahabat pulang sendiri ke rumah Ust Musa dengan menaiki tuk-tuk, dan seterusnya berkemas untuk bertolak pulang seawal jam 5 pagi keesokannya.





Alhamdulillah, kalimat syukur yang layak dirafa’kan kala ini. Saat menjejakkan kaki kembali di bumi Malaysia, hati dipenuhi pelbagai rasa yang bercampur-aduk. Gembira selepas berjaya melaksanakan misi yang tertangguh hampir setahun. Terharu memikirkan layanan istimewa penduduk kampung dan pelajar madrasah. Syukur lantaran pertemuan sebentar cuma itu mampu membibitkan selautan kasih sayang. Tiada apa yang diharapkan lagi melainkan ikatan ukhuwwah atas dasar akidah ini akan sentiasa dipereratkan dan kalian akan terus bersabar di atas setiap cubaan dari-Nya. Apa yang pasti, semestinya kalian akan sentiasa kurindui.

Lantas sukmaku berbisik,
“Jika diizinkan Allah, kita akan bertemu lagi. Walau tidak di dunia biarlah ia di syurga.”



p/s: maaf di atas kelewatan post ini. Berlaku sedikit masalah teknikal dan juga kelemahan diri sendiri. Jazakumullahukhairan jaza’.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Permukiman Fana. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase