Pages

Friday, April 30, 2010

Manis hempedu Kemboja (catatan permusafiran ke Kemboja)

Bismillahirrahmanirrahim

Biar terpisah jasadi
Biar berlainan bumi
Biar tahun berganti
Kau tetap di hati

Sudah dua hari tiba di rumah, namun saya belum lagi mencoret tentang permusafiran saya bersama rakan-rakan ke Kemboja. Mungkin juga kerana badan kurang enak akibat keletihan berprogram serta cuaca yang begitu panas di sana, membuatkan diri ini agak keberatan untuk menulis. Tambahan pula emak sibuk membantu untuk kenduri kahwin di rumah ibu saudara, maka saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak-anak saudara dan ini menyebabkan waktu saya lebih terbatas. Namun, saya cuba juga untuk mencoret serba sedikit, mungkin tidak semua akan saya ceritakan di entri ini.

Banyak yang ingin dikongsi, sehinggakan saya sendiri tidak tahu dari mana harus saya mulakan. Permusafiran selama 5 hari di bumi Kemboja memberi begitu banyak iktibar serta membuka mata dan minda saya. Sedar bahawa di luar sana masih terlalu ramai yang hidup dalam kekurangan. Tempat yang saya ziarahi ini hanyalah beberapa km persegi di Kampung Darul Ulum, bagaimana pula nasib umat Islam di negara-negara miskin yang lain? Subhanallah... Semoga mereka terus diberi kekuatan oleh-Nya.

Rombongan kami disertai oleh 23 orang pelajar terdiri daripada 12 lelaki dan 11 perempuan diiringi oleh 3 pensyarah iaitu Bro Taifunisyam Taib dan Ust Hasanul Basri Abdullah yang juga Pengetua Mahallah CFSIIUM serta Sr. Hartini Jamil, juga diiringi oleh Kak Noni,seorang pengusaha kafe di UIA Petaling Jaya.

Kami berkampung di UIA Petaling Jaya selama 3 hari untuk membuat persiapan terakhir. Banyak yang perlu disiapkan menyebabkan kami terpaksa berjaga sehingga lewat jam 3 pagi. Barang-barang yang kami siapkan untuk dibawa sebagai kegunaan program ini yang tertangguh tahun lalu banyak yang telah musnah dimakan anai-anai. Maka terpaksalah kami membeli semula keperluan-keperluan tersebut. Masa yang berbaki digunakan sebaiknya supaya tidak timbul masalah di sana, lantaran tidak semua barang yang dijual di Malaysia boleh didapati di sana.




22 April 2010, jam 2.30 pagi, kami bergerak dari kampus ke LCCT. Setelah selesai segala urusan, jam 7 pagi waktu Malaysia, kami menaiki pesawat dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap. Perjalanan ke sana memakan masa selama 2 jam. Berada di awan biru buat pertama kali dalam sejarah hidup saya, ternyata begitu mengujakan. Menyaksikan kejadian indah ciptaan Yang Maha Esa membuatkan diri saya begitu takjub akan kehebatan penciptaannya. Kepulan-kepulan awan ibarat gumpalan kapas putih yang begitu bersih dan suci. Ia juga kelihatan seperti iceberg di lautan biru. Subhanallah, Maha Suci Allah...






Jam 8 pagi waktu tempatan, kami selamat tiba. Waktu di Kemboja adalah sejam lebih awal dari Malaysia. Kami disambut oleh Puan Rokiah, isteri kepada Ustaz Afi iaitu pengasas Madrasah Darul Ulum dan juga Ustaz Musa, Mufti Seam Reap. Kemudian kami dibawa menaiki bas ke madrasah tersebut yang terletak di pekan Poi Peit. Bas di sini tidak mempunyai tempat simpanan barang, maka terpaksalah kami meletakkan bagasi-bagasi dan kotak-kotak barang kami di bahagian tempat duduk belakang bas dan berkongsi tempat duduk kerana bas di sini tidak panjang seperti di Malaysia.






Cuaca panas terik di Kemboja pada waktu ini terasa begitu membahang. Dalam perjalanan kami dapat melihat tanah-tanah di sini yang kering kontang bagaikan gurun.



Sebuah kenderaan seperti van melintasi bas kami dan kami sedikit terkejut melihat muatan manusia dalam van tersebut berhimpit-himpit seperti ikan sardin di dalam tin. Jelas Puan Rokiah, keadaan begitu sangat sinonim di sini. Mereka sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Begitulah tingginya tahap kesabaran mereka dalam mencari rezeki. Semoga kita terus menjadi hamba yang bersyukur dengan nikmatnya.



Sebelum sampai ke Poi Peit, kami singgah sebentar di sebuah pekan untuk mengalas perut, tetapi saya tidak ingat apakah nama pekan tersebut. Tiba di sebuah kedai makan di sini, bermula ujian komunikasi pertama buat kami. Apabila pelayan kedai tersebut ingin mengambil pesanan, masing-masing tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Dibantu oleh Ustaz Musa dan Puan Rokiah, akhirnya kami semua dihidangkan sejenis makanan rutin di sini iaitu roti dan sup daging. Kerana terlalu susah berkomunikasi, saya memutuskan untuk memesan teh O ais sahaja ataupun disebut “tea ekok” di sini. Pelayan kedai hanya membawakan segelas ais dan kami perlu membancuh sendiri dengan menambah teh dan gula yang sedia terhidang di atas setiap meja.



Perjalanan diteruskan dan kami selamat tiba di madrasah pada jam 1 petang waktu tempatan. Tempat ini terletak berdekatan dengan sempadan Thailand. Dari jauh, kami dapat melihat pos-pos tentera Thailand. Terlintas di fikiran saya akan pelbagai kemungkinan yang tidak baik lantaran memikirkan Thailand yang sedang mengalami pergolakan. Saban hari, geng baju merah menganjurkan tunjuk perasaan menentang kerajaan. Pertumpahan darah juga sering berlaku akibat tindakan ganas mereka mahu menggulingkan kerajaan sekarang.

Adakah kami sanggup menggadaikan keselamatan kami di sini?

(bersambung...)

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Permukiman Fana. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase