Bismillahirrahmanirrahim.
Dalam sibuk berkemas, saya meluangkan sedikit masa untuk mencoret ringkas di blog baru ini. Sekadar makluman serta sedikit bicara untuk tatapan, bukan mahu bermegah tetapi ingin berkongsi.
Banyak pengalaman pahit maung, masam manis yang dirasai sebelum kami dapat pergi ke Kemboja. Selaku orang yang bertanggungjawab mengumpul dana dan sumbangan, saya akui tugas ini bukan mudah. Banyak cara serta medium yang digunakan, dalam usaha mencari sebanyak mungkin sumber kewangan supaya program ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Tidak sedikit juga masalah yang timbul semasa menjalankan usaha tersebut, tetapi kecekalan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua komiti membantu melancarkan agenda pencarian sumbangan tersebut. Dan setelah tugas tersebut selesai, kini saya beralih tugas menjadi salah seorang antara koordinator program yang bertanggungjawab untuk mengkoordinasi acara-acara dan program yang akan dijalankan di sana.
Pemergian kami bukanlah untuk melancong mahupun bersuka ria, walaupun terdapat juga agenda untuk melawat ibu negaranya, Seam Reap. Akan tetapi pemergian kami ini membawa misi kemanusiaan kepada masyarakat di sana, membantu sekadar yang mampu. Madrasah Darul Ulum, Kampung Darul Ulum, Brei Gup, Poi Peit, Kemboja. Destinasi yang bakal dituju dalam merealisasikan niat yang terakam di hati.
Pada asalnya,program yang dirancang hasil kerjasama semua Mahallah Representative Committee (MRC) Pusat Asasi UIA Petaling Jaya sesi 2008/2009 dijalankan pada awal Julai tahun lepas. Namun, program ini terpaksa ditunda pada saat akhir akibat penularan wabak H1N1 yang begitu serius pada waktu tersebut. Walaupun segala persiapan telah lengkap dan hanya menunggu untuk terbang sahaja, tetapi kami akur dengan hakikat tersebut. Kini saat itu bakal kami tempuhi semula. Alhamdulillah masing-masing mempunyai semangat yang tidak pernah luntur walaupun kami kini terpisah oleh sempadan geografi Gombak, Kuantan dan Petaling Jaya.
Penerbangan dijadualkan pada jam 7.00 pagi 22 April dari KLIA ke Lapangan Terbang Seam Reap. Persiapan akhir akan bermula esok dan berlangsung selama 3 hari di UIA Petaling Jaya, sebelum kami berlepas ke Kemboja.
Mungkin saya tidak memilih masa yang sesuai untuk memulakan langkah penulisan blog. Namun, saya curi juga masa yang ada supaya selepas kepulangan kami dari sana nanti, saya dapat merakam pengalaman yang dirasai dan berkongsi bersama sahabat-sahabat. Jika ada yang bermanfaat, maka dapatlah kita sama-sama jadikan pedoman dan iktibar. Barakallahu lakum wa lana. Wassalam.
Adab Majlis Ilmu
8 years ago
No comments:
Post a Comment