Pages

Friday, April 30, 2010

Manis hempedu Kemboja (catatan permusafiran ke Kemboja)

Bismillahirrahmanirrahim

Biar terpisah jasadi
Biar berlainan bumi
Biar tahun berganti
Kau tetap di hati

Sudah dua hari tiba di rumah, namun saya belum lagi mencoret tentang permusafiran saya bersama rakan-rakan ke Kemboja. Mungkin juga kerana badan kurang enak akibat keletihan berprogram serta cuaca yang begitu panas di sana, membuatkan diri ini agak keberatan untuk menulis. Tambahan pula emak sibuk membantu untuk kenduri kahwin di rumah ibu saudara, maka saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak-anak saudara dan ini menyebabkan waktu saya lebih terbatas. Namun, saya cuba juga untuk mencoret serba sedikit, mungkin tidak semua akan saya ceritakan di entri ini.

Banyak yang ingin dikongsi, sehinggakan saya sendiri tidak tahu dari mana harus saya mulakan. Permusafiran selama 5 hari di bumi Kemboja memberi begitu banyak iktibar serta membuka mata dan minda saya. Sedar bahawa di luar sana masih terlalu ramai yang hidup dalam kekurangan. Tempat yang saya ziarahi ini hanyalah beberapa km persegi di Kampung Darul Ulum, bagaimana pula nasib umat Islam di negara-negara miskin yang lain? Subhanallah... Semoga mereka terus diberi kekuatan oleh-Nya.

Rombongan kami disertai oleh 23 orang pelajar terdiri daripada 12 lelaki dan 11 perempuan diiringi oleh 3 pensyarah iaitu Bro Taifunisyam Taib dan Ust Hasanul Basri Abdullah yang juga Pengetua Mahallah CFSIIUM serta Sr. Hartini Jamil, juga diiringi oleh Kak Noni,seorang pengusaha kafe di UIA Petaling Jaya.

Kami berkampung di UIA Petaling Jaya selama 3 hari untuk membuat persiapan terakhir. Banyak yang perlu disiapkan menyebabkan kami terpaksa berjaga sehingga lewat jam 3 pagi. Barang-barang yang kami siapkan untuk dibawa sebagai kegunaan program ini yang tertangguh tahun lalu banyak yang telah musnah dimakan anai-anai. Maka terpaksalah kami membeli semula keperluan-keperluan tersebut. Masa yang berbaki digunakan sebaiknya supaya tidak timbul masalah di sana, lantaran tidak semua barang yang dijual di Malaysia boleh didapati di sana.




22 April 2010, jam 2.30 pagi, kami bergerak dari kampus ke LCCT. Setelah selesai segala urusan, jam 7 pagi waktu Malaysia, kami menaiki pesawat dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap. Perjalanan ke sana memakan masa selama 2 jam. Berada di awan biru buat pertama kali dalam sejarah hidup saya, ternyata begitu mengujakan. Menyaksikan kejadian indah ciptaan Yang Maha Esa membuatkan diri saya begitu takjub akan kehebatan penciptaannya. Kepulan-kepulan awan ibarat gumpalan kapas putih yang begitu bersih dan suci. Ia juga kelihatan seperti iceberg di lautan biru. Subhanallah, Maha Suci Allah...






Jam 8 pagi waktu tempatan, kami selamat tiba. Waktu di Kemboja adalah sejam lebih awal dari Malaysia. Kami disambut oleh Puan Rokiah, isteri kepada Ustaz Afi iaitu pengasas Madrasah Darul Ulum dan juga Ustaz Musa, Mufti Seam Reap. Kemudian kami dibawa menaiki bas ke madrasah tersebut yang terletak di pekan Poi Peit. Bas di sini tidak mempunyai tempat simpanan barang, maka terpaksalah kami meletakkan bagasi-bagasi dan kotak-kotak barang kami di bahagian tempat duduk belakang bas dan berkongsi tempat duduk kerana bas di sini tidak panjang seperti di Malaysia.






Cuaca panas terik di Kemboja pada waktu ini terasa begitu membahang. Dalam perjalanan kami dapat melihat tanah-tanah di sini yang kering kontang bagaikan gurun.



Sebuah kenderaan seperti van melintasi bas kami dan kami sedikit terkejut melihat muatan manusia dalam van tersebut berhimpit-himpit seperti ikan sardin di dalam tin. Jelas Puan Rokiah, keadaan begitu sangat sinonim di sini. Mereka sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Begitulah tingginya tahap kesabaran mereka dalam mencari rezeki. Semoga kita terus menjadi hamba yang bersyukur dengan nikmatnya.



Sebelum sampai ke Poi Peit, kami singgah sebentar di sebuah pekan untuk mengalas perut, tetapi saya tidak ingat apakah nama pekan tersebut. Tiba di sebuah kedai makan di sini, bermula ujian komunikasi pertama buat kami. Apabila pelayan kedai tersebut ingin mengambil pesanan, masing-masing tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Dibantu oleh Ustaz Musa dan Puan Rokiah, akhirnya kami semua dihidangkan sejenis makanan rutin di sini iaitu roti dan sup daging. Kerana terlalu susah berkomunikasi, saya memutuskan untuk memesan teh O ais sahaja ataupun disebut “tea ekok” di sini. Pelayan kedai hanya membawakan segelas ais dan kami perlu membancuh sendiri dengan menambah teh dan gula yang sedia terhidang di atas setiap meja.



Perjalanan diteruskan dan kami selamat tiba di madrasah pada jam 1 petang waktu tempatan. Tempat ini terletak berdekatan dengan sempadan Thailand. Dari jauh, kami dapat melihat pos-pos tentera Thailand. Terlintas di fikiran saya akan pelbagai kemungkinan yang tidak baik lantaran memikirkan Thailand yang sedang mengalami pergolakan. Saban hari, geng baju merah menganjurkan tunjuk perasaan menentang kerajaan. Pertumpahan darah juga sering berlaku akibat tindakan ganas mereka mahu menggulingkan kerajaan sekarang.

Adakah kami sanggup menggadaikan keselamatan kami di sini?

(bersambung...)

Sunday, April 18, 2010

Kemboja: Hatiku Bersamamu

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam sibuk berkemas, saya meluangkan sedikit masa untuk mencoret ringkas di blog baru ini. Sekadar makluman serta sedikit bicara untuk tatapan, bukan mahu bermegah tetapi ingin berkongsi.

Banyak pengalaman pahit maung, masam manis yang dirasai sebelum kami dapat pergi ke Kemboja. Selaku orang yang bertanggungjawab mengumpul dana dan sumbangan, saya akui tugas ini bukan mudah. Banyak cara serta medium yang digunakan, dalam usaha mencari sebanyak mungkin sumber kewangan supaya program ini dapat direalisasikan dengan jayanya. Tidak sedikit juga masalah yang timbul semasa menjalankan usaha tersebut, tetapi kecekalan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua komiti membantu melancarkan agenda pencarian sumbangan tersebut. Dan setelah tugas tersebut selesai, kini saya beralih tugas menjadi salah seorang antara koordinator program yang bertanggungjawab untuk mengkoordinasi acara-acara dan program yang akan dijalankan di sana.

Pemergian kami bukanlah untuk melancong mahupun bersuka ria, walaupun terdapat juga agenda untuk melawat ibu negaranya, Seam Reap. Akan tetapi pemergian kami ini membawa misi kemanusiaan kepada masyarakat di sana, membantu sekadar yang mampu. Madrasah Darul Ulum, Kampung Darul Ulum, Brei Gup, Poi Peit, Kemboja. Destinasi yang bakal dituju dalam merealisasikan niat yang terakam di hati.

Pada asalnya,program yang dirancang hasil kerjasama semua Mahallah Representative Committee (MRC) Pusat Asasi UIA Petaling Jaya sesi 2008/2009 dijalankan pada awal Julai tahun lepas. Namun, program ini terpaksa ditunda pada saat akhir akibat penularan wabak H1N1 yang begitu serius pada waktu tersebut. Walaupun segala persiapan telah lengkap dan hanya menunggu untuk terbang sahaja, tetapi kami akur dengan hakikat tersebut. Kini saat itu bakal kami tempuhi semula. Alhamdulillah masing-masing mempunyai semangat yang tidak pernah luntur walaupun kami kini terpisah oleh sempadan geografi Gombak, Kuantan dan Petaling Jaya.

Penerbangan dijadualkan pada jam 7.00 pagi 22 April dari KLIA ke Lapangan Terbang Seam Reap. Persiapan akhir akan bermula esok dan berlangsung selama 3 hari di UIA Petaling Jaya, sebelum kami berlepas ke Kemboja.

Mungkin saya tidak memilih masa yang sesuai untuk memulakan langkah penulisan blog. Namun, saya curi juga masa yang ada supaya selepas kepulangan kami dari sana nanti, saya dapat merakam pengalaman yang dirasai dan berkongsi bersama sahabat-sahabat. Jika ada yang bermanfaat, maka dapatlah kita sama-sama jadikan pedoman dan iktibar. Barakallahu lakum wa lana. Wassalam.

Friday, April 16, 2010

Bermulanya sebuah episod...

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ

Nuun, demi kalam dan apa yang mereka tulis. (Al-Qalam:1)

Agak lama saya berfikir untuk mencetus transformasi baru dan mencabar kebolehan diri dalam bidang penulisan. Niat untuk mempunyai blog peribadi telah lama mengakar, tambahan melihat teman-teman semakin hebat dgn 'blogging',namun perasaan takut dan risau menjadi batu penghalang. Tidak dinafikan, dua perasaan itu menjadi musuh manusia yang akan membantutkan gerak kerja dan paling malang apabila ia turut mendatangkan kesan kepada agenda dakwah. Tidak lagi mahu menoleh ke belakang, maka saya gagahi diri untuk meneruskan niat tersebut, walaupun diri ini mempunyai terlalu banyak kekurangan.

Termotivasi dengan sepatah kata semangat yang pernah ditiupkan oleh seorang sahabat tidak lama dahulu, "jangan mengaku kalah sebelum berjuang".

Semoga usaha kecil ini mampu dijadikan medan untuk meneruskan perjuangan Islam yang tercinta.

Perjalanan yang panjang, episodnya bermula di sini...
 
Copyright 2009 Permukiman Fana. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase